KESETIAAN TANDA IMAN - ADUHAI KHADIJAH!

جاءت عجوزٌ إلى النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وهو عندي فقال لها رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : من أنتِ ؟ قالت : أنا جثَّامةُ المُزنيَّةُ فقال : بل أنتِ حسَّانةُ المُزنيَّةُ كيف أنتُم ؟ كيف حالكم ؟ كيف كنتُم بعدنا ؟ قالت بخيرٍ بأبي أنت وأمِّي يا رسولَ اللهِ فلما خرجتُ قلتُ : يا رسولَ اللهِ تُقبِلْ على هذه العجوزِ هذا الإقبالَ فقال : إنها كانت تأتينا زمنَ خديجةَ وإنَّ حسنَ العهدِ من الإيمانِ


Ertinya: Aishah RA bercerita, pernah seorang wanita tua datang bertemu Nabi SAW ketika aku berada bersama Baginda. Rasulullah SAW bertanya kepada wanita itu: “Siapa kamu ini?” Wanita itu menjawab: “Aku adalah Jaththamah (bermaksud pemalas) al-Muzaniyyah.” Baginda menjawab: “ (Bukan itu namamu) Sebenarnya namamu adalah Hassanah (Wanita baik lagi terpuji) al-Muzaniyyah. Apa khabar kamu? Bagaimana keadaan kamu selepas lama kita tak jumpa?”  Wanita itu menjawab: “Demi ayah dan ibumu Wahai Rasulullah, aku baik sahaja.” Selepas dia keluar, Aku (Aishah) bertanya: “(Mengapa) kamu menerima masuk wanita itu (dengan mulia) sedemikian rupa?” Nabi menjawab: “Dia itu (kawan Khadijah dan) selalu menemui kami ketika Khadijah masih hidup. Sesungguhnya menjaga kehormatan (atau kesetiaan sesama manusia seperti kenangan antara suami isteri) termasuk dalam ciri (orang) iman (Mustadrak al-Hakim, 39). 


Hadith ini menunjukkan betapa mendalamnya cinta dan setia Rasulullah SAW kepada isterinya Khadijah RA. Cara Nabi melayan wanita tua dalam hadith di atas mengajar kita agar memanggil seseorang dengan nama yang baik. Lihat bagaimana Baginda menukar nama tidak elok kepada makna yang elok. Perbuatan ini pastinya menimbulkan rasa gembira lagi terharu wanita itu. Dalam dakwah sikap sebegini membuka pintu perkenalan yang baik lagi mesra. Apabila kemesraan timbul, tembok penghalang akan pudar dan mesej dakwah mudah menyapa.


Abdullah Bukhari

25 Ogos 2020.



Catat Ulasan

0 Ulasan