Ery duduk di sebelah sudah berapa kali bangun tidur,Dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap KL fm, sekejap Pahang fm mengikut lambungan kereta lagaknya.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang. Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar.
Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah keluar mencari tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku
Sedikit marah, mengetap bibir. "Nak apa?!" Dia terketar terkejut, sedikit berundur. " Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.." Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak ..Berbaju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar , senteng. Tidak berkasut dengan kaki yang hitam. Menjijikkan! " Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar !!" Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih.
“Ah,si miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah”. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah-dekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan di situ.
Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. “Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh !! “ " Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan ku hulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia.
Cepat-cepatlah dia pergi.” Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu , mengelap mata dengan hujung kemejanya. "Kenapa ni? Gila?!" " Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa,mencuci tandas , kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku. Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu.
Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ.
Hampir 10 minit aku melayan Ery . Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. “Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi,berlagak seperti fakir. Mungkin…”. Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus. " Eh, pakcik. Tadi saya bagi RM 5, takkan dapat beli barang sebanyak ini?" . Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.
Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar. Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas. " Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami.
Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tual sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula,nak." Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali.
Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki. " Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan.
Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi.Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati." Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang RM 5 di hujung kaki, dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat. Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.
"jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah utk menyukai apa yang kita dapat.."
0 Ulasan
Note Penting !
1. Tolong jangan buat SPAM komen kat sini.
2. Guna ayat yang ada BUDI BICARA yang baik.
3. Hanya komen perkara yang BERKAITAN dengan tajuk!
4. Ada rasa tak puas hati, call terus di 019358XXXX. Cas mengikut kadar Telco Anda..
~